Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan tenang...

Thursday 26 January 2012

MEMELIHARA DAN MENJAGA MARTABAT INSAN




SESUNGGUHNYA Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan kelengkapannya sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), kami kembalikan dia kepada serendah-rendah peringkat orang yang rendah. (At-Tin : 4-5).

Huraian:

Manusia berbanding makhluk Allah s.w.t. yang lain, adalah sebaik-baik kejadian. Mereka dibekalkan dengan akal dan nafsu, yang bersesuaian dengan peranan mereka sebagai khalifah yang diamanahkan untuk beribadah dan memakmurkan bumi.

Dengan akal, manusia mengenal Allah s.w.t. Yang Maha Besar, mengkagumi ciptaan-Nya dan mengambil manfaat daripadanya untuk memenuhi keperluan hidup mereka.

Jika kita luaskan pandangan ke seluruh dunia, kita dapat melihat bagaimana tahun demi tahun, ada saja penemuan dan penerokaan baru oleh manusia.

Dengan akal juga manusia membangunkan ekonomi, infrastruktur, peraturan dan undang-undang agar kehidupan di dunia ini berjalan dengan baik.

Akal juga memandu manusia dalam menilai sesuatu yang baik atau buruk. Akal jugalah yang menjadikan diri kita manusia yang amanah atau manusia yang khianat.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa manusia jugalah yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.

Keghairahan mereka untuk mendapat kehidupan yang sempurna menjadikan mereka golongan yang bertuhankan nafsu.

Manusia meneroka sains dan teknologi tetapi sayangnya digunakan untuk berperang, manusia juga mengkaji alam, flora dan fauna tetapi mereka jugalah yang menyebabkan ekologinya musnah sehingga terjadi bencana, manusia membangunkan keperluan sosial, malangnya mereka menggadaikannya dengan kemuliaan insan sehingga berlaku keruntuhan akhlak dan moral.

Bukankah Allah s.w.t. telah menyebut dalam ayat di atas bahawa jika manusia menyalahgunakan segala kurniaan Allah s.w.t. kepada mereka, maka Allah s.w.t. akan merendahkan martabat mereka ke peringkat yang hina.

Justeru, ambillah iktibar daripada pesanan Allah s.w.t. ini dan peliharalah martabat insan yang diamanahkan kepada kita selagi hayat dikandung badan.

#Akal kurniaan Allah s.w.t. bukan sahaja boleh membezakan antara kebaikan mahupun keburukan tetapi juga membangunkan dunia dengan kemajuan. Panduan ditunjukkan di dalam al-Quran dan sunah Nabi s.a.w.  

No comments:

Post a Comment